Bukan satu, akan tetapi dua unit Toyota GR Yaris dibeli oleh Litchfield bagi membangunkan pakej talaan yang sesuai terhadap casis dan juga enjin.
Menurut Litchfield, dengan talaan ringkas terhadap kotak ECU asal Denso, mereka berjaya mengekstrak 300 kuasa kuda daripada enjin 1.6 liter turbo tiga silinder itu.
Selain daripada itu, Litchfield turut menawarkan penukaran ECU plug-and-play bagi mereka yang mahu menyahkunci kuasa yang terpendam daripada enjin asal GR Yaris.
Untuk mereka yang lebih mementingkan pengendalian, usah risau kerana Litchfield telah bekerjasama dengan Nitron untuk membangunkan kit suspensi dan pakej tetapan pengendalian dengan satu tujuan - meningkatkan kualiti pengendalian serta respons yang lebih tajam daripada casis.
Unit GR Yaris berwarna putih itu telah dipasangkan dengan kit suspensi prototaip, dan setakat ini ia memberikan hasil yang diinginkan oleh Litchfield.
Litchfield akan turut menawarkan dua kit suspensi Nitron (2-way dan 3-way) untuk para pemilik GR Yaris tidak lama lagi.