Untuk kajian terbaharu, mereka mendapati warna kuning sekali lagi mendominasi sebagai warna yang menyumbang kepada susut nilai yang paling rendah berbanding warna-warna lain.
Laman web iSeeCars mengumpulkan data jualan bagi 650,000 unit kenderaan terpakai berusia tiga tahun bagi menentukan sejauh mana pemilihan warna mampu mempengaruhi susut nilai atau nilai jualan semula sesebuah kenderaan.
Secara keseluruhan, purata susut nilai bagi kenderaan terpakai adalah sekitar 15 peratus, dan tidak mengejutkan apabila kereta berwarna kuning mempunyai kadar susut nilai yang paling rendah, sekitar 4.5 peratus sahaja.
Menurut iSeeCars, pemilihan warna yang cerah memiliki nilai yang lebih tinggi di pasaran terpakai disebabkan ia cenderung untuk menjadi sesuatu yang terhad.
Kuning juga merupakan warna yang sinonim untuk kereta genre sports dan kenderaan volum rendah, dan pembeli cenderung untuk membayar harga yang lebih premium untuk kereta dengan warna tersebut.
Selain kuning, warna lain yang menyumbang kepada susut nilai yang rendah termasuklah jingga (10.7 peratus), dan ungu (13.9 peratus).
Berdasarkan data, antara warna-warna yang menyebabkan kadar susut nilai jatuh mendadak adalah putih (15.5 peratus), hitam (16.1 peratus), emas (16.7 peratus) dan perang (17.8 peratus).
Berdasarkan penerangan, warna putih dan hitam adalah warna yang terlalu biasa dilihat, jadi kereta dengan warna tersebut tidak akan begitu menyerlah di dalam pasaran terpakai.
Warna seperti emas dan perang pula amat jarang dilihat, namun warna tersebut bukanlah warna yang diminati oleh para pembeli kereta terpakai.
Sumber: iSeeCars