Mazda CX-60 2022 - SUV Mazda paling berkuasa, platform pacuan roda belakang

oleh Mohamad Hanif|
Selepas kehadiran Mazda CX-50 untuk pasaran Amerika Syarikat, tiba giliran benua Eropah untuk menerima sebuah lagi model SUV baharu, iaitu Mazda CX-60 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selain Eropah, antara pasaran lain yang turut menerima kehadiran model ini termasuklah Jepun dan juga Australia.

Mazda CX-60 dibangunkan menggunakan pelantar pacuan roda belakang Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture, dengan ukuran dimensi sepanjang 4,745 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,870 mm.

Ini bermakna, CX-60 memiliki dimensi yang sedikit besar jika dibandingkan dengan CX-50.
 

CX-60


Bahagian luaran membawakan falsafah rekaan Mazda 'Kodo - Soul of Motion' dengan gril hadapan yang lebih bersegi, lampu utama yang sedikit kecil, serta lampu nyalaan siang berbentuk L yang bersambung ke bahagian gril itu tadi.

Secara standard, Mazda CX-60 ditawarkan dengan rim bersaiz 18 inci, atau 20 inci bergantung kepada varian.
 

CX-60


Ruang kabin pula menempatkan beberapa ciri unik seperti skrin kluster intrumen digital TFT-LCD penuh, skrin infotainmen 12.3 inci, skrin paparan head-up yang lebih besar, serta sistem penyesuaian pemandu yang akan melaraskan kedudukan stereng, tempat duduk, paparan HUD dan cermin sisi bergantung kepada posisi mata pemandu itu sendiri.

Di bahagian belakang, Mazda CX-60 mampu memuatkan barangan sebesar 570 liter, atau sehingga 1,148 liter dengan tempat duduk baris kedua dilipat rata. Mazda CX-60 juga berkeupayaan untuk menunda beban seberat 2,500 kg.

Terima kasih kepada sistem plug-in hybrid, Mazda CX-60 kini merupakan SUV produksi yang paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Mazda.

Ia terdiri daripada enjin Skyactiv-G 2.5 liter (189 hp, 261 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (134 hp, 250 Nm) dengan kuasa gandingan setinggi 323 hp dan 500 Nm, serta pek bateri 17.8 kWh.
 

CX-60


Pecutan 0-100 km/j adalah sekitar 5.8 saat dengan kelajuan tertinggi 200 km/j, dan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 60 km.

Malah, Mazda CX-60 mampu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan serendah 1.5 liter untuk setiap 100 km!

Selain itu, Mazda CX-60 turut menerima enjin enam silinder e-Skyactiv X yang dipadankan dengan sistem mild-hybrid, diikuti enjin diesel enam silinder e-Skyactiv D yang turut dipadankan dengan sistem mild-hybrid 48 voltan.

Kesemua varian didatangkan dengan transmisi automatik baharu dengan lapan nisbah kelajuan, sistem pacuan AWD i-Activ, serta mod pemanduan Normal, Sport, Off-Road, Towing dan EV secara standard.
 

CX-60


Aspek gantungan SUV ini terdiri daripada sistem double wishbone di depan dan tetapan multi-link di belakang, serta ciri Kinematic Posture Control (KPC) yang mampu menstabilkan SUV ini di bawah daya G yang tinggi dengan mengenakan daya brek pada bahagian dalam roda belakang bagi mengurangkan kesan olengan.

Ciri keselamatan termasuklah paparan 360 darjah, Amaran Keluar Kenderaan, Pengecaman Papan Tanda Trafik, brek kecemasan automatik depan dan belakang dengan pengesanan pejalan kaki, penunggang basikal dan fungsi di persimpangan, Bantuan Pengekalan Lorong, Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, kawalan jelajah adaptif, serta bantuan mula mendaki.

Di Eropah, harga jualan bermula dari £43,950 hingga £48,050 (RM241,157-263,653).

Berita Berkenaan

Berita Global
Jadi, sudah pasti peminat Mazda tertanya-tanya bagaimana pula dengan prestasi Mazda CX-60 - SUV…
Berita Global
Menurut bos Mazda Eropah, Martijn ten Brink memberitahu laman Automotive News Europe, Mazda bakal…
Berita Global
Apabila ditanya mengenai generasi baharu model tersebut, pengurus program bagi model Mazda CX-5,…