Tidak seperti model CX-50 yang lebih bersifat ranggi, Mazda CX-60 pula menerapkan konsep minimalis yang merupakan evolusi terkini bagi bahasa rekaan Kodo, menggandingkan konsep Ma iaitu 'kecantikan ruang kosong yang tenang dan bermartabat', serta idea Kaicho yang disifatkan sebagai 'keharmonian yang datang dari gandingan bahan dan tekstur yang pelbagai'.
Penerapan konsep itu tadi boleh dilihat dengan lebih jelas menerusi rekaan kabin yang lebih ringkas, namun menampilkan penggunaan bahan berkualiti tinggi termasuklah kayu maple, kulit Nappa, tekstil Jepun, serta kemasan krom.
Selain itu, Mazda turut menekankan konsep Musubu, iaitu salah satu teknik mengikat tekstil yang menjadi inspirasi pada rekaan jahitan yang terdapat pada panel instrumen.
Untuk pasaran Eropah, Mazda mengesahkan CX-60 bakal menjadi model plug-in hybrid (PHEV) pertama dengan kuasa output sekitar 300 hp, selain penawaran enjin enam silinder sebaris Skyactiv-X dan Skyactiv-D yang dilengkapi sistem mild-hybrid 48V.
Pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung pada 8 Mac ini.
Selain daripada Mazda CX-50 dan CX-60, perancangan 'Large Product Group' Mazda turut merangkumi model baharu seperti CX-70, CX-80 (versi tujuh tempat duduk) dan CX-90 (versti tujuh tempat duduk).