Untuk tempoh beberapa tahun dari sekarang, Mazda mahu mencapai sasaran nisbah jualan EV global sebanyak 40 peratus, berbanding sasaran awal sebanyak 25 peratus.
Strategi elektrifikasi Mazda akan merangkumi tiga fasa:
- Fasa 1 (2022-2024) yang memfokuskan kepada pembangunan
- Fasa 2 (2025-2027) akan menjadi tempoh peralihan dengan memperkenalkan model EV serta sistem hibrid baharu
- Fasa 3 (2028-2030) bakal menyaksikan pelancaran beberapa model EV di peringkat global

Di akhir video pembentangan itu, Mazda turut memperlihatkan sebuah model konsep yang disebut-sebut sebagai pengganti kepada kereta sports MX-5.
Model konsep yang tidak mempunyai nama itu membawakan garis badan jenis low-slung diikuti dengan rekaan fender yang lebih menonjol, bumbung kekal serta bukaan pintu gull-wing.
Lebih menarik, selain daripada rujukan elemen rekaan Mazda RX-7 FD pada cermin belakang, model konsep ini juga mempunyai unit lampu LED dengan mekanisme pop-up!

Walaupun terdapat ura-ura generasi kelima MX-5 (NE?) akan mengekalkan enjin pembakaran dalaman berdasarkan dimensi hud enjin yang panjang, model konsep ini dilihat membawakan trenkuasa elektrik.
Ini boleh dilihat menerusi kehadiran komponen kotak di belakang kabin yang mungkin dikhususkan untuk meletakkan pek bateri.
Struktur casis aluminium model konsep ini dilihat memfokuskan kepada dinamik pemanduan dan keringanan, sesuai dengan warisan sebenar kereta sports jenama Jepun itu.