Memperkenalkan, Mercedes-AMG CLA 45 4MATIC+ Shooting Brake.
Jika CLA 35 didatangkan dengan nadi berkuasa 302 hp, versi sado CLA 45 ini didatangkan dengan enjin generasi baharu empat silinder sebaris 2.0 liter yang mampu menghasilkan 382 kuasa kuda dan 480 Nm.
Sistem pacuan semua roda 4MATIC+ adalah standard yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan dan pecutan sepantas 4.1 saat dari 0-100 km/j.
Inginkan varian yang lebih berkuasa dan lebih sado, Mercedes-AMG CLA 45 S Shooting Brake mampu membuatkan anda tersenyum gembira dengan 415 kuasa kuda dan 500 Nm, serta pecutan 4 saat tepat dan kelajuan maksimum 270 km/j.
Enjin sahaja tidak memadai bagi melengkapkan wagon berkuasa ini.
Mercedes-AMG juga turut mengambil kira beberapa aspek seperti penambahbaikan terhadap casis, sistem AMG Torque Control, suspensi yang lebih sporti dan brek berprestasi tinggi dibantu dengan angkup brek AMG.
Seperti model AMG 45 yang lain, CLA 45 Shooting Brake dipasangkan dengan gril Panamericana bagi menjadikan rupa front fascia lebih agresif, dan diakhiri dengan splitter hadapan.
Di bahagian belakang, bumper hadapan menampilkan liang aliran udara, diffuser dan sistem ekzos dengan dua tip berkembar.
Secara keseluruhan, penggayaan bagi keluarga AMG 45 adalah serupa untuk kesemua model, seperti rim bersaiz 18 inci dan 19 untuk varian S, namun versi Shooting Wagon ini nampak lebih kejam dan jahat jika dibandingkan dengan A 45 dan CLA 45.
Tidak dilupakan, anda akan menerima lebih banyak ruang kargo di bahagian belakang, sesuai untuk kegunaan seharian.
Harga pula masih belum ditetapkan secara rasmi oleh Mercedes-AMG.