G-wagen AMG ini boleh didapati dalam warna Obsidian Black Metallic atau Opaline White Bright daripada G manufaktur, disertakan dengan rim tempa bersaiz 22 inci cross-spoke kemasan Matt Tantalum Gray.
Model edisi khas ini turut didatangkan dengan pakej opsyen AMG Night Packages I dan II secara standard termasuklah penutup tangki bahan api krom perak berlogokan AMG.
Ruang kabin mendapat ciri seperti trim pintu keluli tahan karat, plet ambang pintu AMG beriluminasi merah, alas lantai AMG hitam denga jahitan merah dan perkataan "Edition 55", serta roda stereng balutan mikrofiber dengan logo AMG dan 55.
Selain itu, ia turut mendapat kemasan trim gentian karbon, serta balutan upholsteri kulit nappa dua tona hitam dan merah.
Tiada sebarang perubahan terhadap enjin, bermakna nadi asal V8 4.0 liter bi-turbo ini mampu menghasilkan 577 hp dan daya kilas 850 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan dan sistem pacuan empat roda.