Mitsubishi Malaysia telah mendermakan RM20,000 kepada Mercy Malaysia bagi membantu membeli 400 unit kelengkapan sut Tyvek untuk diagihkan kepada tiga pusat CAC (COVID-19 Assessment Centres) di Stadium Melawati, Stadium Jugra dan Klinik Kesihatan Gombak Setia.
Selain itu, Mitsubishi Malaysia turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan bernilai RM43,000 yang merangkumi khemah, meja, kerusi, unit pendingin hawa mudah alih, serta sistem pendawaian tugas berat untuk keperluan CAC di Hulu Langat yang mampu memuatkan sehingga 400 pesakit pada satu hari.
Untuk kemudahan pergerakan para petugas dalam program vaksinasi jangkauan umum, Mitsubishi telah meminjamkan sebuah trak pikap Triton dan dua unit SUV Outlander bagi membolehkan mereka bergerak ke pusat pemberian vaksin.
Menurut Tomoyuki Shinnishi, Ketua Pegawai Eksekutif MMM menjelaskan, "walaupun tunjang perniagaan kami adalah menghasilkan kenderaan, kami komited untuk melakukan tanggungjawab kami dalam memastikan negara dan pelanggan kami sentiasa selamat. Kesan peningkatan kes dan impak daripada pandemik COVID-19 telah menyebabkan peningkatan tekanan emosi di kalangan petugas baris hadapan.
"Kami akan sentiasa berkomunikasi rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi awam untuk melihat bagaimana Mitsubishi dapat terus menyumbang," tambah beliau lagi.