Tidak mahu dicop sebagai jenama aksesori semata-mata, Ralliart kini tampil dengan sebuah model konsep baharu setelah teaser didedahkan beberapa minggu yang lalu.
Mitsubishi Vision Ralliart Concept - seperti yang anda lihat, ia merupakan sebuah Outlander PHEV (plug-in hybrid) yang jauh lebih agresif jika dibandingkan dengan model standard.
Ini kerana Outlander PHEV ini digandingkan dengan rim futuristik bersaiz 22 inci, kit badan yang lebar, rekaan gril hadapan yang lebih sporti, rekaan bampar belakang dengan diffuser besar, serta lampu brek diinspirasikan daripada F1.
Tidak ketinggalan, kehadiran lencana Ralliart pada beberapa bahagian.
Tiada sebarang spesifikasi trenkuasa diumumkan, namun Mitsubishi mendakwa Outlander PHEV ini mempunyai output motor elektrik yang jauh lebih tinggi, kawalan empat roda (S-AWC) yang dipertingkat, serta kapasiti bateri yang lebih besar.
Setakat ini, Vision Ralliart bertindak sebagai sebuah kajian konsep, namun menurut Mitsubishi, maklum balas daripada pelanggan akan digunakan untuk pembangunan produk masa hadapan.
Ini secara tidak langsung memberikan bayangan Mitsubishi mungkin akan menghasilkan SUV berorientasikan prestasi pada masa akan datang.