
Di negara maju Amerika Syarikat, Accent tidak pernah ketinggalan untuk dijual sejak generasi pertama tahun 90an sehingga generasi kelima yang diperkenalkan pada tahun 2017.
Beberapa tahun di pasaran, Hyundai kini menamatkan penawaran Accent di Amerika Syarikat dan tidak kedengaran pengganti untuk model ikonik ini.
Hyundai Motor America memaklumkan Accent tidak disambung disebabkan perkembangan barisan SUV termasuk Venue yang kini menjadi model aras mula untuk syarikat.
Ini bermakna SUV Venue merupakan model Hyundai paling murah di sana.

Perkembangan yang sama juga menunjukkan tawaran sedan Hyundai di Amerika Syarikat semakin mengecil.
Di sebalik perkembangan tersebut, Hyundai memperakui sedan kekal penting dan akan terus menawarkan Elantra dan Sonata.
Semasa penawarannya di Amerika Syarikat, Accent ditawarkan dalam gaya badan sedan dengan enjin 1.6 liter GDi berkuasa 130 hp.
Suatu yang menarik pembeli boleh mendapatkan Accent transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

Model 2020 menyaksikan perubahan rangkaian kuasa, enjin 1.6 GDi diganti dengan enjin 1.6 Smarstream DPI.
Kotak gear automatik ditukar kepada Intelligent Variable Transmission (IVT).
Kuasa yang dihasilkan ialah 120 hp pada 6,300 rpm dan daya kilas 153 Nm pada 4,500 rpm.
Sebagai model aras mula, carian di laman web Hyundai menunjukkan Accent 2022 ditawarkan dari USD$16,645 (RM73,396)
Kini tiada lagi Accent di Amerika Syarikat dan model Hyundai paling mampu milik ialah SUV Venue 1.6 DPI yang dijual dari USD$19,000 (RM83,780).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
