Selepas memperkenalkan SUV Eletre dan sedan yang akan dilancarkan kelak, Lotus diberitakan akan hadir dengan sebuah model EV dalam bentuk wagon atau shooting brake.
Menurut ketua komersial Lotus, Mike Johnstone memberitahu Autocar, "cita rasa pelanggan perubah, segmen pasaran baharu dan teknologi baharu muncul bermakna kami boleh melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza.
Namun begitu, beliau menegaskan objektif segera Lotus adalah untuk memperkenalkan sedan, crossover kompak dan kereta sports elektrik ke pasaran.

Ini memberikan petunjuk model-model lain seperti wagon dijangka akan muncul selepas tempoh tiga tahun akan datang.
"Kami kini sedang berusaha mencari jalan bagaimana kami dapat memaksimumkan potensi di dalam pasaran.
Langkah Lotus ini dilihat menyamai apa yang dibuat oleh Porsche, di mana jenama Jerman itu kini mempunyai barisan model yang hampir menyeluruh (SUV Macan & Cayenne, sedan Taycan dan wagon Taycan Cross).
Strategi perniagaan ini mungkin kurang disenangi oleh para peminat tegar, namun ia telah dibuktikan berkesan di mana hasil keuntungan penjualan model volum tinggi (Cayenne dan Macan) boleh disalurkan kepada pembangunan model-model volum rendah seperti 718 dan 911.

Pada tahun 1974 hingga 1982, Lotus pernah menghasilkan model Elite Type 75 dan Type 83 yang membawakan sistem suspensi bebas, konfigurasi empat tempat duduk, dan bentuk badan shooting brake.
Ia merupakan model Lotus pertama yang menggunakan blok enjin empat silinder sebaris aluminium dengan sesaran 1,973 cc menghasilkan 155 hp.
Lotus Elite didakwa mempunyai kadar pekali seretan serendah 0.30 dan ia merupakan model berenjin empat silinder yang paling mahal harganya pada ketika itu.
Sumber: Autocar