Nahas Putrajaya - Pemandu treler dakwa tidak sempat hentikan kenderaan

oleh Penyumbang Rencana|
Dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan treler muatan batu pasir merempuh sejumlah kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di Putrajaya pada Selasa.

Kemalangan kira-kira jam 10.15 pagi yang membabitkan 14 kenderaan iaitu treler terbabit, sebuah lori satu tan, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik itu berlaku apabila treler berkenaan melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di laluan terbabit.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang.

Pengecaman identiti kedua-dua mangsa berkenaan dibuat oleh ahli keluarga masing-masing di Hospital Putrajaya kira-kira 5.30 petang.

A.Asmadi berkata pemandu treler berusia 25 tahun itu sudah ditahan dan hasil siasatan awal, lelaki itu mendakwa tidak sempat memberhentikan kenderaan itu.

Beliau berkata pemandu treler itu tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.

"Treler itu (pemandu) kita tidak tahu sama ada dia (pemandu) terleka atau main telefon bimbit, kita lihat treler itu nampak baharu lagi," katanya kepada pemberita ketika meninjau proses siasatan di lokasi kejadian.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), A.Asmadi berkata pemandu treler itu sepatutnya berpeluang untuk memberhentikan kenderaan kerana dilihat sempat menukar laluan dari lorong tengah ke kiri.

"Bagi kita, dia ada peluang untuk berhentikan kenderaan itu, kenderaan lain dihentikan oleh anggota trafik dan berhenti dengan baik," katanya pihak polis akan meneruskan siasatan termasuk aspek teknikal treler itu.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti kemalangan tersebut untuk membantu siasatan polis mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis juga akan memohon untuk mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori terlibat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, katanya.

A.Asmadi berkata jumlah keseluruhan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah seramai 14 orang dengan dua maut, tujuh cedera termasuk pemandu treler, manakala bakinya tidak mengalami kecederaan.

Mereka yang cedera ada yang parah serta patah tangan dan sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

Mengenai tindakan anggota trafik memberhentikan kenderaan di lokasi itu, beliau berkata anggota trafik berkenaan sedang mengadakan latihan dan mengenal pasti jalan untuk acara berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) esok.

Beliau berkata anggota trafik berkenaan mematuhi setiap tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk melakukan latihan dan mengenal pasti jalan untuk LTdL itu.

"Dari segi tatacara kita patuhi SOP ditetapkan, daripada (pemerhatian) CCTV memang cantik (kepatuhan)," katanya yang turut memaklumkan anggota trafik berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun motosikalnya rosak teruk.

 

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Penggantungan itu ditetapkan atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan…
Berita Domestik
"Undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas bukan saja bawah Akta Pengangkutan Jalan tapi juga…
Informasi
Menurut kenyataan itu, APAD sedang bekerjasama dengan agensi terbabit bagi mendapatkan laporan…