Nissan Almera Turbo 2020 - 100 PS/152 Nm, ciri standard AEB, bermula dari RM8x,xxx!

oleh Mohamad Hanif|
Siang tadi, Edaran Tan Chong Motor telah mengumumkan pembukaan tempahan bagi model sedan segmen B serba baharu, iaitu Nissan Almera Turbo.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Didatangkan dalam tiga varian utama, Nissan Almera membawakan nadi tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo HR10DET yang mampu menghasilkan 100 PS dan 152 Nm daya kilas, dipadankan dengan transmisi XTRONIC CVT, D-Step Logic System dan mod Sport.

Enjin turbo itu juga menampilkan beberapa teknologi moden seperti contoh penggunaan waste gate elektronik yang mampu mengurangkan kesan sela turbo, serta teknologi Mirror Bore Coating yang diadaptasi dari Nissan GT-R.

 


Teknologi GT-R itu dikatakan mampu mengurangkan geseran antara gelang omboh dan silinder, sekaligus meningkatkan ketahanan, mengurangkan masalah kehausan, menjadikan pemanduan lebih jimat dan mesra alam.

Dengan tangki bahan api sebesar 35 liter, Nissan Almera Turbo mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 5.4 liter/100 km, atau jarak sejauh 650 km untuk satu tangki penuh, sekaligus melayakkannya untuk menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

 


Reka bentuk luaran Nissan Almera Turbo merupakan satu anjakan yang cukup besar berbanding generasi dahulu, disumbangkan oleh bahasa rekaan gril V-Motion, serta lampu utama yang lebih tajam dan lebih moden.

Versi asas dan pertengahan mendapat lampu utama jenis halogen, manakala varian premium pula mendapat lampu utama jenis LED dengan lampu DRL boomerang, juga jenis LED.

Selain itu, Nissan Almera Turbo turut didatangkan dengan ciri kemasan bumbung terapung, rim bersaiz 15 inci (varian asas) dan 16 inci untuk varian yang lebih premium, rekaan bumper hadapan yang sporti, serta bumper belakang dengan diffuser terbina.

Nissan Almera Turbo juga turut menampilkan dimensi 70 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar dan 40 mm lebih rendah, memberikan penampilan yang lebih sporti dan sekaligus menyumbang kepada penawaran ruang dalam yang lebih luas.

 


Ruang kabin Nissan Almera Turbo ini dilengkapi dengan tempat duduk hadapan jenis semi bucket yang diinspirasikan daripada Zero Graviti, di mana varian asas mendapat kerusi balutan fabrik dengan warna dua tona, sistem audio asas AM/FM, roda stereng urethane rekaan bawah rata dengan pelarasan tilt/teleskopic, empat pembesar suara dan pendingin hawa kawalan manual.

Sementara dua varian tertinggi pula mendapat tempat duduk balutan kulit dengan warna dua tona, roda stereng balutan kulit, skrin paparan Advance Drive Assist Display (ADAD) tujuh inci berwarna, sistem kawalan iklim automatik, skrin infotainmen 8 inci dengan Apple CarPlay, enam pembesar suara dan panel papan pemuka dua tona.

Ruang kargo pula adalah seluas 482 liter, dan boleh ditambah dengan membaringkan tempat duduk baris kedua dengan nisbah 60:40.

 


Ciri keselamatan pula cukup lengkap dengan enam beg udara SRS (dua unit untuk varian asas), Kawalan Kestabilan Kenderaan, Kawalan Cengkaman, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, cagak ISOFIX, serta tambahan dua ciri keselamatan aktif iaitu amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

Manakala varian paling premium pula menerima tambahan ciri keselamatan seperti Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, serta sistem kamera keliling 360 darjah dengan Pengesanan Pergerakan Objek (i-MOD).

Tiga warna baharu diperkenalkan untuk Nissan Almera iaitu Radiant Red, Monarch Orange dan Dark Metal Grey bagi melengkapi warna sedia ada Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

 


Harga jualan anggaran bermula dari RM8x,xxx sehingga RM9x,xxx di mana setiap pembelian Nissan Almera akan didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, serta pakej servis percuma (termasuk kos buruh dan alat ganti) sebanyak lima kali.

Orang ramai dijemput untuk melihat dengan lebih dekat Nissan Almera Turbo pada 5-6 September dan 11-13 September di bilik pameran terpilih di seluruh negara, dan rebut peluang untuk memenangi 15 unit iPhone SE (128 GB) bernilai RM2,199 setiap satu.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sumbangan wang yang sebahagiannya diperoleh menerusi kempen Nissan Almera Turbo Fuel Efficiency…
Berita Domestik
Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan para pemilik Nissan Almera 1.0L Turbo untuk membuat impak…
Model Terbaharu
Ditawarkan dalam tiga varian utama, iaitu VL, VLP dan VLT, Nissan Almera Turbo kini boleh didapati…