Terdapat dua varian yang ditawarkan, iaitu Highway Star (anggaran harga bawah RM150,000) dan versi Premium Highway Star dengan harga anggaran di bawah RM165,000.
Untuk golongan pembeli terawal, ETCM menawarkan pakej khas yang merangkumi servis percuma sebanyak lima kali (perbatuan 10,000 km, 30,000 km, 50,000 km, 70,000 km dan 90,000 km) ke atas jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Dari segi rupa, Nissan Serena S-Hybrid membawakan perubahan seperti rekaan gril hadapan yang lebih besar, lampu belakang dengan grafik S yang lebih jelas, diikuti dengan kemasan bampar serba baharu.
Ruang kabin pula menawarkan sehingga 13 konfigurasi susunan tempat duduk dengan baris kedua menampilkan kerusi kapten sementara pemandu dan penumpang hadapan pula menikmati keselesaan di atas tempat duduk Zero Gravity.
Antara kemudahan lain seperti pintu gelangsar pada bahagian kiri dan kanan, tujuh slot pengecasan USB, serta kelengkapan keselamatan Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi amaran pra-pelanggaran, brek kecemasan pintar, amaran keluar lorong, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta kamera keliling 360 darjah.
MPV Nissan Serena S-Hybrid 2022 masih lagi mengekalkan enjin 2.0 liter hibrid Twin CVTC di mana motor elektrik ECO (energy control motor) pula menawarkan bantuan daya kilas semasa pemanduan mula, sekaligus mengurangkan beban ke atas enjin dan menjimatkan penggunaan bahan api.
Lebih banyak perincian bakal didedahkan menjelang pelancaran rasmi Nissan Serena S-Hybrid 2022 pada awal Julai ini.