Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah DSP Hussin Zamora berkata sebanyak 1,059 kes kemalangan telah dicatatkan dengan 22 kes daripadanya membabitkan kemalangan maut.
"Daerah Baling mencatatkan kes kemalangan dan kematian tertinggi. Namun, jumlah kemalangan pada tahun ini menurun berbanding tahun lalu tetapi berlaku sedikit peningkatan pada jumlah kematian," katanya kepada pemberita pada Op Selamat yang dijalankan di Jalan Sultanah Bahiyah di sini, hari ini.
Op Selamat itu yang bermula 2.30 petang hingga 6 petang disertai 12 pegawai dan anggota polis dan empat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 30 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan antaranya lesen tamat tempoh dan ubah suai kenderaan.
Hussin berkata polis menjangkakan berlaku pertambahan kenderaan di beberapa kawasan tertentu dengan berakhirnya cuti sekolah pada hujung minggu ini bersempena Aidilfitri yang boleh menyebabkan risiko berlakunya kemalangan adalah tinggi.
"Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika memandu, sila patuhi peraturan jalan raya bagi menjaga keselamatan anda dan keluarga ketika berada di jalan raya," katanya.
Sumber: Bernama