PDRM cadang surat doktor untuk pemegang lesen warga emas

oleh Mohamad Hanif|
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.
NISSAN MREC Banner Campaign Mar

Beliau berkata, cadangan memperkenalkan syarat khas itu adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana, katanya, keadaan kesihatan tubuh badan juga menjadi antara faktor kemalangan dengan penyakit seperti 'alzheimer' dan masalah mata akan dihadapi warga emas.

"Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya

"Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan. Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal," katanya pada sidang media khas, hari ini.

Menurutnya, syarat seperti warga emas menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat surat pengesahan bahawa mereka sihat untuk memandu adalah bagi menjaga keselamatan diri dan pengguna lain.

"Sepatutnya golongan warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen dengan syarat mempunyai pengesahan daripada doktor yang menyatakan individu berkenaan mampu untuk memandu dari segi mental dan fizikal.

"Tempoh pembaharuan lesen buat warga emas juga seharusnya dihadkan untuk jangka masa pendek supaya pihak berkenaan dapat membuat penilaian terhadap kemampuan golongan itu untuk berada di jalan raya.

"Sekarang, lesen memandu boleh diperbaharui sehingga tempoh lima tahun. Jika warga emas usia 70 tahun memperbaharui LKM bagi tempoh lima tahun, tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia," katanya mencadangkan pembaharuan lesen memandu warga emas dihadkan hanya untuk tempoh setahun dengan syarat tertentu.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mengeluarkan satu dasar untuk motosikal berkuasa rendah agar tidak mengeluarkan bunyi bising.

Ini kerana, katanya, rata-rata motosikal sedemikian diubahsuai sehingga mengeluarkan bunyi bingit dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Cha Sa-soon, 69, mula menduduki ujian bertulis pada April 2005 dan selepas gagal buat kali pertama…
Berita Domestik
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian juga mempertimbangkan…
Berita Global
Menurut Michigan State Police, lelaki tersebut ditahan kerana membuat panggilan palsu yang mendakwa…