Beliau berkata, JSPT telah melaksanakan arahan kerajaan berkaitan cukai jalan dan lesen memandu digital seperti mana diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini.
"Tiada tindakan diambil ke atas pengguna jalan raya yang tidak mempamerkan cukai jalan dan lesen memandu digital.
"Namun begitu, pengguna jalan raya disaran untuk menunjukkan kesahihan maklumat melalui aplikasi yang disediakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kenderaan yang diperiksa.
"Ia bertujuan memastikan kesahihan dan keselamatan pemiliknya yang sah dan seterusnya mengesahkan ia juga bukan kenderaan hilang akibat kes kecurian," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Nasri berkata, JSPT mempunyai aplikasi yang menghubungkan data maklumat kenderaan dan lesen memandu diuruskan pihak JPJ.
Oleh yang demikian kata beliau, data kenderaan yang dipamerkan secara tangkap layar atau 'screen shot' oleh pemilik masih boleh diterima pakai oleh JSPT.
"Screen shot oleh pemilik masih boleh diterima pakai oleh JSPT bagi membuktikan kenderaan tersebut adalah miliknya," ujarnya.