Isu itu menyebabkan imej syarikat dan perniagaan mereka tercalar sehingga menimbulkan kebimbangan pelanggan untuk berurusan atau membeli kereta-kereta terpakai yang ditawarkan.
Seorang peniaga, Thomas Wong, 71, berkata, perniagaannya terjejas hampir 50 peratus selepas terdapat hampir 30 kes penipuan jual beli kereta menggunakan nama syarikatnya dikesan sejak tahun lalu.
Menurutnya, sindiket menggunakan identiti syarikatnya termasuk nombor telefon dan alamat kedainya di Jalan Datuk Wong Ah Jang di sini untuk mengiklankan kereta melalui laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
"Tujuannya dipercayai bagi menyakinkan pelanggan untuk berurusan dan memperdaya mangsa untuk membayar wang deposit.
"Lebih membimbangkan, ada mangsa datang ke kedai untuk menuntut kereta dibeli dengan membawa dokumen kelulusan pinjaman penuh menggunakan kepala surat syarikat lengkap dengan nombor telefon dan alamat.
"Sedangkan kami tidak menyediakan pinjaman dan tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen seperti itu," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar bersama Persatuan Perniagaan Motor dan Kredit Pahang pada Isnin.
Thomas berkata, syarikatnya juga tidak pernah mengiklankan kereta-kereta terpakai yang dijual melalui laman sosial.
"Ekoran kejadian, dua laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu dalam tempoh dua tahun ini.
"Tahun lalu hanya beberapa kes dikesan namun awal tahun ini terutama pada April sebelum Aidilfitri, saya menerima puluhan panggilan setiap hari daripada mangsa-mangsa yang tertipu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perniagaan Motor dan Kredit Pahang, Donald Chan berkata, lebih 100 kes penipuan menggunakan nama syarikat ahli dikesan dan beberapa laporan polis telah dibuat setakat ini.
Menurutnya, ada ahli (peniaga kereta terpakai) mendakwa kereta yang diiklankan sindiket menggunakan gambar kereta milik mereka untuk memperdayakan mangsa.
"Sasaran mereka golongan yang terdesak untuk memiliki kereta terutama golongan berpendapatan rendah atau mereka yang disenaraihitamkan dan tidak layak membuat pinjaman bank.
"Kereta yang ditawarkan biasanya model-model yang mendapat permintaan tinggi termasuk dari jenama tempatan dengan harga jauh lebih murah dari pasaran.
"Mangsa yang tertarik dengan iklan kereta ditawarkan akan membayar deposit RM500 hingga RM3,000 dan selepas bayaran dibuat suspek terus gagal dihubungi," katanya.
Beliau berkata, akhirnya peniaga yang akan dicari mangsa terlibat sehingga ada yang dituduh turut terlibat dengan penipuan itu.
"Kami menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk membeli kereta supaya berurusan langsung dengan kedai-kedai kereta yang sah dan berlesen.
"Datang tengok sendiri kondisi kereta dan jika berminat berurusan terus dengan peniaga atau wakil penjual.
"Jangan mudah percaya dengan iklan kereta yang ditawarkan pada harga murah melalui media sosial bagi mengelak ditipu," katanya.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 80 ahli persatuan itu di Kuantan dan lebih 180 ahli dari seluruh Pahang.
"Rata-rata mereka bimbang sekiranya kes penipuan seperti itu terus berlaku kerana ia boleh menjejaskan industri kereta terpakai di negeri ini," katanya.