Mempunyai saiz dan dimensi yang serupa dengan adik beradiknya Vespa Primavera 50cc untuk tujuan menyelit di dalam kawasan bandar, Vespa Elettrica didatangkan dengan sumber tenaga puncak setinggi 5.4 kuasa kuda dan daya kilas 14.91 Nm daripada janaan elektrik sepenuhnya.
Manakala jarak pengoperasiannya pula mampu mencecah sehingga 100 km untuk sekali pengecasan penuh, dengan masa kira-kira empat jam diperlukan sekiranya menggunakan soket kuasa standard di rumah anda.
Usah risau oleh kerana peralatan pengecasan turut disertakan bagi memudahkan anda mengecas skuter elektrik ini di rumah.
Skuter elektrik ini turut dilengkapkan dengan ciri paparan digital Vespa Multimedia Platform bersaiz 4.3 inci di mana pemilik boleh mengakses beberapa maklumat penting seperti jarak perbatuan, jarak tunggangan dan sebagainya,
Uniknya, Vespa juga turut membekalkan beberapa sensor pengesan yang digelar ciri tunggangan berbantu (assisted riding) dengan kebolehan berkomunikasi antara kenderaan (V2V) bagi mengekalkan tahap keselamatan penunggang yang optimum di atas jalan raya.