Katanya, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengesan individu yang disyaki melakukan kesalahan pergerakan rentas negeri tanpa permit.
"Selain daripada melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, polis akan menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan dan kampung untuk mengesan mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan bergerak melampaui perbatasan negeri untuk balik berhari raya.
"Bagi tujuan ini pasukan pemantau PDRM dan ATM akan meninjau rumah di taman perumahan dan kampung di seluruh negara," katanya tadi.
Beliau berkata, polis akan memeriksa bagi mengesan kenderaan yang tidak mempunyai permit pergerakan.
"Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri," katanya.
Sebarang kesalahan pergerakan rentas negeri boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967.
Sebelum ini Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berulang-kali menegaskan supaya masyarakat tidak melakukan sebarang pergerakan rentas negeri semasa musim perayaan ini.
Beliau turut memberi peringatan bahawa mereka yang sebelum ini sudah 'terlepas' pulang ke kampung halaman tidak semestinya akan 'terlepas' apabila hendak kembali semula ke rumah.