PLUS tugaskan 250 pasukan PLUSRonda 24 jam di lebuh raya

oleh SALINA JALIL|
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menugaskan lebih 250 pasukan PLUSRonda bagi membuat rondaan 24 jam di lebuh raya PLUS, sempena sambutan Aidilfitri hari ini.


Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pihaknya juga akan menghentikan sementara semua kerja penyelenggaraan dan naik taraf di sepanjang lebuh raya itu bermula dari 11 Mei hingga kini, kecuali membabitkan kerja pembaikan kecemasan yang kritikal.

 

"Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ini, perjalanan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan, kecuali atas urusan kecemasan, kerja, pendidikan dan aktiviti ekonomi dengan kebenaran pihak polis termasuk urusan perubatan atau janji temu vaksinasi COVID-19.

 

"Bagi pelanggan lebuh raya yang dibenarkan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh berkenaan, kami akan memastikan tahap perkhidmatan di lebuh raya kami sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik, walaupun PKP dilaksanakan.

 

"Jika berlaku sebarang insiden atau kecemasan di lebuh raya, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000," katanya dalam satu kenyataan.

 

Zakaria berkata, PLUS bekerjasama rapat dengan penguatkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meningkatkan tahap keselamatan pelanggan di lebuh raya pada setiap kali musim perayaan.

 

gambar hiasan

 

Katanya, PLUS juga menempatkan kren dan trak tunda yang sentiasa bersiap sedia di lokasi strategik di sepanjang lebuh raya untuk bantuan kecemasan dan kerja mengalihkan kenderaan terkandas dengan lebih pantas sepanjang tempoh perayaan.

 

Kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) PLUS turut dibuka 24 jam, manakala gerai makanan dan minuman, kedai serbaneka dan gerai perniagaan, selain makanan dan minuman di R&R beroperasi akan beroperasi pada jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari (tertakluk kepada arahan Pihak Berkuasa Tempatan), bermula hari ini hingga 7 Jun ini.

 

"Untuk keselesaan pelanggan, PLUS kini menawarkan khidmat beli dan bawa pulang makanan tanpa sentuh dengan lebih mudah.

 

"Pelanggan hanya perlu membuat pra pesanan untuk menikmati pelbagai juadah daripada rakan niaga dan pengendali gerai di 21 R&R terpilih, melalui aplikasi PLUS atau pautan https://orderdisini.plus.com.my/," katanya.

 

Pada masa sama, Zakaria turut mengingatkan orang ramai untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), dengan memakai pelitup muka, mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, mengambil suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal apabila beratur bagi pembelian makanan atau menggunakan kemudahan awam di R&R serta di lebuh raya PLUS.

 

"Semua kemudahan awam seperti surau dan tandas di R&R serta hentian sebelah dibuka 24 jam setiap hari.

 

"Aspek kebersihan di R&R sentiasa diberi keutamaan dengan menjalankan rutin pembersihan ketat secara berjadual termasuk kerja sanitasi untuk keselesaan kepada pelanggan," katanya.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Rawi, masalah utama Smart Lane ialah ramai pengguna yang tidak tahu laluan kecemasan di…
Berita Domestik
Sehubungan dengan itu, pihak PLUS akan mengaktifkan SmartLane di 14 lokasi tumpuan trafik…
Berita Domestik
MyPLUS-TTA merupakan sebuah aplikasi berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan…