Beliau berkata, pihaknya masih mengekalkan 10 sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini membabitkan sempadan negeri dan sempadan antarabangsa hingga petang ini selagi belum mendapat arahan daripada Ketua Polis Negara (KPN).
"Walaupun Kelantan kini berada dalam zon hijau, penguatkuasaan dan penugasan anggota dalam mengawal situasi ketika wabak COVID-19 masih diteruskan seperti sedia kala.
"Kita kini memasuki fasa pemulihan, jadi sama-samalah kita jaga supaya benar-benar bebas daripada wabak pandemik COVID-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, tidak mustahil bagi mereka yang berada di perantauan akan pulang berhari raya kerana masih lagi berada dalam 'mood' raya memandangkan pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mereka tidak dibenarkan pulang mahupun merentas negeri.
"Walaupun kerajaan sudah melonggarkan syarat pelaksanaan PKP, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan serta mengelakkan berada di tempat tumpuan ramai," katanya.
Kerajaan semalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).