Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pos Malaysia memaklumkan pasaran pos dan kurier domestik melalui perubahan jumlah mel terus menurun begitu ketara, manakala para pemain e-dagang pula telah mula menawarkan khidmat penghantaran.
"Operasi kami telah dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat.
Bagi menghargai perkhidmatan bekas pekerja Pos Rider, Pos Malaysia akan memberi keutamaan kepada ejen berkenaan untuk khidmat sambilan sekiranya ada peningkatan terhadap permintaan penghantaran bungkusan.
Menurut kenyataan itu, ia dapat memberi manfaat kepada bekas Pos Rider untuk menjana pendapatan tambahan manakala Pos Malaysia mengekalkan kecekapan kos, selain meneliti strategi perniagaan, kos dan sumber untuk memastikan daya maju dan kemampanan perniagaan sepanjang pandemik COVID-19.
Program Pos Rider telah diperkenalkan pada tahun 2019 dan berjaya membantu Pos Malaysia menyampaikan lebih banyak bungkusan di seluruh Malaysia.
Pos Malaysia juga telah melakukan fasa pertama rasionalisasi pada 1 Julai lepas di semua negeri, kecuali di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.
Sumber: Bernama