Selepas pembuka tirai musim 2020 berakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), 17 Julai lalu, persaingan tentunya terarah kepada CP125 yang menyaksikan empat pelumba ONEXOX TKKR membolot empat kedudukan teratas carta kelas pertengahan itu.
Dalam kelas perdana, CP150, Mohd Helmi Azman daripada pasukan Hi Rev SCK Honda Racing tentunya ke Selatan tanah air penuh motivasi selepas meraih kemenangan di Sepang dengan catatan keseluruhan terpantas, 15 minit 34.837 saat.
Tidak kurangnya dalam kelas WIRA yang menyaksikan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing mendahului tangga kejuaraan melalui bakat baharu, Rahimi Nabil Razu.
Seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP), penganjuran sukan tanpa sentuhan, Pusingan 2 ini akan berlangsung dalam litar tertutup dan tanpa kehadiran penonton.
Peminat sukan permotoran dua roda khususnya boleh mengikuti perkembangan terkini perlumbaan menerusi laman sosial kejuaraan dan juga televisyen.