Namun, anda sebenarnya boleh mendapatkan sebuah Datsun 240Z tahun 1971 versi tanpa bumbung, dengan syarat anda perlu mempunyai wang berjumlah $70,000 untuk masuk meminang model tersebut.
Datsun 240Z yang unik ini dihasilkan dengan kerjasama dua bengkel dari California, iaitu Pierre's Z Service Center yang mengubah model asal menjadi sebuah roadster, sebelum diserahkan kepada Scarab Industries yang kemudian memasukkan nadi V8 bagi menggantikan enjin asal.
Nadi crate V8 LSX dengan kapasiti 7.4 liter (454 cubic-inch) itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 665 hp yang dipadankan dengan transmisi manual Tremec enam nisbah kelajuan.
Pihak bengkel turut merendahkan lagi cermin penghadang angin hadapan, fender flare baharu, serta set rim HRE bersaiz 17 inci, diikuti dengan sistem brek cakera Wilwood.
Disebabkan casis asal telah diubah menjadi roadster, pengukuhan casis adalah amat diperlukan, dan disebabkan itu roadster ini telah mendapat pendakap tambahan, diikuti dengan diffuser belakang, dan komponen suspensi kustom depan dan belakang.
Susun atur ruang kabin yang asal masih lagi dikekalkan, namun dengan perubahan seperti balutan kulit tan pada tempat duduk, panel pintu, dan terowong transmisi.
Gugusan meter yang lebih moden telah dimuatkan, diikuti dengan roda stereng dan tombol gear kemasan kayu.
Unit Datsun 240Z Roadster ini dijangka akan dilelong pada minggu ini dengan harga jualan dianggarkan bermula dari $50,000 (RM232,400) hingga $70,000 (RM325,360).