Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa Mitsubishi sedang menyusun semula barisan SUV yang pada ketika ini sangat rapat dimensinya antara satu sama lain - seperti ASX dan Eclipse.
Jika ASX dilaporkan akan mengecil saiznya, Outlander baharu pula akan membesar berbanding saiz sedia ada.
Berdasarkan laporan daripada Motor1, pasukan pengintip telah menemukan sebuah model ujian yang disyaki sebagai Mitsubishi Outlander generasi baharu, berdasarkan profil luaran serta garis badan yang dipamerkan.
Terdapat peluang bahawa Mitsubishi Outlander ini bakal berkongsi platform yang sama dengan Nissan Rogue - membawa maksud dimensi Outlander juga kian membesar berbanding model terdahulu.
Walaupun tidak diketahui spesifikasi teknikal, berkemungkinan besar Mitsubishi bakal menggunakan nadi 1.5 liter turbo dari model Eclipse yang dipertingkat, selain versi plug-in hybrid 2.4 liter yang dipertontonkan oleh model konsep Engelberg Tourer.
Mengikut standard WLTP, sistem PHEV ini membolehkan Engelberg Tourer bergerak sejauh 70 km dalam mod sifar emisi, serta jarak keseluruhan berjumlah 700 kilometer!
Walaupun sarat dengan pelekat badan, ia tidak langsung menyembunyikan fakta bahawa Outlander baharu ini membawakan elemen-elemen daripada model konsep Engelberg Tourer yang diperkenalkan awal tahun lalu.
Beberapa persamaan dibawakan seperti rupa bentuk hadapan Dynamic Shield, rekaan lampu utama, serta lampu belakang yang akan disesuaikan mengikut keadaan dunia sebenar.
Menurut laporan, Mitsubishi bakal memperkenalkan Outlander generasi baharu ini pada dua acara besar, sama ada di Geneva Motor Show ataupun New York Auto Show.