Selepas mengejutkan dunia dengan kehadiran Ferrari F40 berbadan lebar, Liberty Walk bakal muncul dengan sebuah lagi projek, kali ini melibatkan model Lamborghini Countach.
Berdasarkan video teaser yang dimuatnaik menerusi laman YouTube, Countach yang klasik itu ternyata mempunyai penampilan yang lebih agresif dan garang.
Ia diberikan penambahan struktur arka roda yang sangat lebar, bampar depan baharu dengan splitter besar dan sirip aerodinamik, skirt sisi, diikuti dengan bahagian belakang yang kini mempunyai diffuser baharu, empat tip ekzos, dan sayap gergasi yang dipasang pada casis.
Jarak lega bumi yang rendah memberikan bayangan Countach ini dilengkapi dengan sistem suspensi udara.
Tidak dapat dipastikan sama ada unit enjin asal Countach turut disentuh oleh Liberty Walk, namun yang pasti ia bakal menjadi tumpuan pada acara Tokyo Auto Salon 2024 yang bakal berlangsung kelak.