Untuk pasaran tempatan, UMW Toyota akan menawarkan Toyota Veloz dengan spesifikasi tertinggi serta ciri termaju untuk pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.
Toyota Veloz 2022 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter (2NR-VE) yang dipadankan dengan transmisi CVT tujuh nisbah kelajuan, di mana ia mampu menghasilkan angka output 106 PS dan 137 Nm.
Antara ciri menarik yang ada pada Toyota Veloz versi pemasangan tempatan (CKD) ini adalah kehadiran lampu nyalaan siang (DRL), rim aloi bersaiz 17 inci, sistem keselamatan Toyota Safety Sense (Sistem Pra-Pelanggaran & Kawalan Jelajah Adaptif), brek parkir elektrik (EPB), pad pengecasan nirwayar Qi, serta sistem pendingin hawa automatik.
Veloz juga turut dilengkapi dengan skrin Display Audio bersaiz sembilan inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, sistem telematik kenderaan, serta skrin paparan info MID bersaiz tujuh inci berwarna penuh.
Terdapat lima warna elegan ditawarkan iaitu Silver Metallic (bumbung hitam), Blue Metallic (bumbung hitam), putih, Metallic Bluish Black dan Red Metallic.
Tempahan untuk Toyota Veloz 1.5 kini telah pun dibuka dengan harga jualan atas jalan bermula dari RM95,000 tanpa insurans.