Tengku Zafrul - Insentif pembelian EV wajar dimasukkan dalam Belanjawan 2024

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pemberian insentif yang bertujuan menggalakkan pembelian kenderaan elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MITI telah menerima cadangan hebat daripada pemain industri dan rakyat untuk Belanjawan 2024, termasuk cadangan yang berkaitan dengan ekosistem EV.

"Indonesia merupakan satu-satunya negara (Asean) yang telah memperkenalkan subsidi untuk EV bagi motosikal mereka.

"Ini (insentif untuk menggalakkan pembelian EV di Malaysia) merupakan satu cadangan yang baik untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024. Saya yakin Perdana Menteri (selaku) Menteri Kewangan akan memberi pertimbangan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Pengalaman rydeEV Yinson GreenTech di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai kemungkinan insentif EV dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

Pusat Pengalaman rydeEV yang dilancarkan itu membolehkan pengunjung merasai masa depan mobiliti mikro dan kemudahan teknologi bateri boleh tukar Yinson GreenTech, mendaftar pakej pajakan untuk pemilikan atau pajakan yang berpatutan, mendapatkan e-motosikal mereka diservis atau dibaiki serta membeli barangan rydeEV.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata MITI akan terus menyokong pertumbuhan infrastruktur pengecasan EV untuk kenderaan dua roda, sama seperti usaha kerajaan yang komited untuk memasang 10,000 pengecas EV menjelang 2030.

Kerajaan juga akan terus menyokong dan memudahkan inisiatif serupa yang menyumbang kepada matlamat bersama iaitu Malaysia yang lebih bersih, hijau dan lebih makmur, katanya.

"Memandangkan bateri EV merangkumi sehingga 70 peratus daripada kos, kaedah pertukaran bateri boleh mengurangkan kos pemilikan dengan ketara untuk pemilik e-motosikal.

"Dengan pemilikan sifar dan masalah penyelenggaraan, perkhidmatan langganan bateri ini mampu mempopularkan EV ke tahap baharu, yang mana pengguna boleh terus menghidupkan e-motosikal mereka dan menikmati tunggangan," katanya.

Beliau juga pada masa yang sama menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan untuk menceburi industri EV dua roda.

 

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Berbanding model asas Born, Born VZ telah diberi naik taraf untuk menjadikannya sebuah hot hatch…
Berita Global
Mahindra akan menggunakan komponen-komponen yang dibekalkan oleh Volkswagen untuk model kenderaan…