Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini, pendirian kerajaan tetap dengan keputusan itu.
"Setakat ini, sikap kerajaan masih lagi mengekalkan subsidi minyak petrol dan diesel sehinggalah kerajaan membuat satu keputusan... kita mungkin laksanakan subsidi secara bersasar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Kipmall, Tampok di Johor Bahru pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan pakar ekonomi berkaitan kemungkinan Kerajaan Perpaduan mengumumkan pemansuhan subsidi minyak petrol dan diesel dalam pembentangan Belanjawan 2023 sekali gus menggantikan ia dengan sistem bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Berkenaan ReDI, Ahli Parlimen Pulai itu berkata pihaknya merancang untuk melaksanakan lima program di lokasi tumpuan ramai seperti Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak.
"Sehingga 31 Dis tahun lepas, sebanyak 8,479 peniaga luar bandar telah beralih ke medium digital dan kini ia diperluaskan lagi di negeri Johor dengan menyasarkan keseluruhan 233 peniaga Kipmall dan 120 peniaga di Pasar Awam Perling," katanya.
Sebelum ini, program ReDI, yang mengurangkan kebergantungan terhadap wang tunai serta memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga, berjaya dilaksanakan secara rintis antaranya di Putrajaya, Hulu Terengganu, Pulau Pangkor serta Labuan pada tahun lepas.