UMW Toyota Motor Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan jenama Toyota di Malaysia dengan bangganya mengumumkan sedan segmen D yang baharu sahaja dilancarkan, Toyota Camry menerima penarafan lima bintang berdasarkan ujian ASEAN NCAP yang dijalankan baru-baru ini.
Toyota Camry serba baharu yang dilancarkan Disember lalu menerima markah berjumlah 49.04 mata untuk perlindungan penumpang dewasa (AOP), 22.68 untuk kanak-kanak (COP) dan 19.75 mata unutk penilaian teknologi bantuan keselamatan (SATs).
Secara keseluruhannya, Toyota Camry baharu menerima markah sebanyak 91.47 mata, sekaligus melayakkannya menerima penarafan lima bintang.
Keputusan penuh boleh dibaca menerusi pautan di bawah:
Muat Turun: Laporan Penuh Ujian ASEAN NCAP Toyota Camry
Keputusan ini diumumkan semacam pelancaran ASEAN NCAP Labelling Compliance Guideline 2019 oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri di Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menerusi acara semalam, kerajaan akan mewajibkan kesemua pengeluar untuk memaparkan label penarafan ASEAN NCAP yang akan berkuatkuasa bermula 1 Mac 2020 dalam usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran para pengguna terhadap penarafan NCAP sebagai salah satu aspek penting dalam pembelian kenderaan baharu.