Toyota GR Corolla Circuit Edition 2024 kini boleh didapati dengan beberapa perubahan dan penambahbaikan dari segi prestasi.
Secara standard, ia dibekalkan enjin tiga silinder G16E-GTS (300 hp, 370 Nm), bumbung gentian karbon tempa, spoiler belakang hitam berkilat, pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen, diikuti dengan tempat duduk sports balutan kulit palsu dan suede Brin Naub, serta sistem audio premium JBL - sama seperti model tahun 2023.
Perubahan eksklusif ialah kehadiran warna baharu Blue Flame, kemasan dalaman warna biru, diikuti dengan komponen liang udara hadapan yang disemak semula, serta talaan pada casis untuk aspek pengendalian dan aerodinamik yang lebih berkesan.
Selain itu, Toyota juga telah mengubah bolt cagak untuk gear stereng, suspensi belakang, serta sistem pembumian bateri.
Mengakhiri perubahan pada GR Corolla ialah set rim aluminium tempa bersaiz 18 inci yang sama didatangkan pada model MORIZO Edition 2023, serta balutan tayar Michelin Pilot Sport 4S.
Toyota GR Corolla Circuit Edition 2024 akan mula dijual pada musim luruh ini, dan hanya 1,600 unit sahaja yang akan dihasilkan.
Untuk mereka yang tidak berkemampuan, usah risau kerana Toyota turut mengumumkan model GR Corolla akan tersedia di dalam permainan simulasi perlumbaan Gran Turismo.