Toyota Majesty - komuter mewah guna platform HiAce (harga dari RM231 ribu di Thailand)

oleh Mohamad Hanif|
Ini mungkin antara model yang paling dinanti-nantikan oleh pengusaha van sewa di Thailand, apabila Toyota secara rasminya melancarkan Majesty, van penumpang mewah yang diasaskan daripada HiAce generasi baharu.

Dikenali dengan nama Granvia di Australia, Toyota Majesty secara asasnya mampu membawa lebih penumpang berbanding Toyota Alphard, namun dengan harga yang jauh lebih mesra pengguna berbanding van super mewah itu. 

Versi standard van penumpang HiAce yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini mempunyai dimensi panjang 5,265 mm, lebar 1,950 mm dan tinggi 1,990 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,210 mm. 

 


Jika dibandingkan dengan pesaing terdekat, Toyota Majesty jauh lebih besar berbanding Hyundai Starex yang turut sama dijual. 

Didatangkan dalam tiga trim (Grande, Premium dan Standard), hanya satu pilihan enjin sahaja ditawarkan, iaitu 2.8 liter diesel turbo 1GD-FTV yang ampu menjana 163 hp dan 420 Nm yang masuk antara julat 1,600-2,200 rpm. 

Ia dipadankan dengan sistem kotak gear automatik enam nisbah kelajuan jenis torque converter. 
 


Membantu pengendalian Majesty di jalan raya adalah sistem suspensi MacPherson Strut dengan Stabilizer di hadapan, dan sistem 4 Link Coil Suspension dengan Stabilizer di belakang. 

Secara standard, sistem brek cakera didatangkan pada kesemua empat roda dengan pemakaian rim bersaiz 17 inci. 

Ciri standard lain yang turut disertakan termasuklah sistem lampu LED automatik termasuklah lampu nyalaan siang, pengelap cermin automatik, pemegang pintu krom, pintu gelongsor berkembar berkuasa elektrik, panel meter Optitron, corong pendingin hawa untuk kesemua baris tempat duduk dan penghadang cahaya matahari untuk penumpang. 
 


Toyota Majesty hadir dengan empat baris tempat duduk balutan kulit yang mampu memuatkan 11 orang penumpang pada satu-satu masa dengan formasi 3-2-2-4. 

Di bahagian baris kedua didatangkan dengan kerusi kapten yang turut dilengkapi dengan fungsi perehat kaki, fungsi urut dan juga larasan kedudukan berkuasa elektrik. 

Manakala tempat duduk kapten baris ketiga pula tidak didatangkan dengan fungsi yang disebutkan di atas. 
 


Dari segi keselamatan, Toyota Majesty hadir dengan penawaran ciri sembilan beg udara (termasuk beg udara lutut), ABS, EBD, Bantuan Membrek, Kawalan Kestabilan Kenderaan, LSD, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan dan juga Sistem Pemantauan Tekanan Tayar. 

Poin tambahan disertakan adalah ciri Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti:

  • Sistem Amaran Pra-Pelanggaran
  • Amaran Keluar Laluan
  • Kawalan Pelayaran Radar Dinamik
  • Lampu Suluh Tinggi Automatik
  • Sistem Pemantauan Titk Buta
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang
  • Sistem Paparan Keliling Panorama
     


Harga jualan Toyota Majesty sedikit murah berbanding Toyota Alphard/Vellfire, seperti berikut:

  • Varian Standard - 1.709 juta Baht (RM231,925)
  • Varian Premium - 1.899 juta Baht (RM257,801)
  • Varian Grande - 2.199 juta Baht (RM298,528)

Sementara itu, Toyota Alphard pula bermula dari harga 3.747 juta Baht atau RM508,280...

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Toyota Hiace telah dilancarkan di Filipina awal tahun yang lalu dan kini giliran pasaran Thailand…
Berita Global
Menurut ujian pelanggaran kenderaan baharu yang dijalankan oleh ANCAP, Toyota Hiace dan Nissan Leaf…
Berita Global
  Hiace tidak mencapai tahap 'Hailak' di mana pengguna mengenali pikap jenama lain sebagai Hilux,…