Untuk sesebuah pengeluar hadir dengan teknologi elektrifikasi tersendiri mungkin akan memakan masa dan kos pembangunan yang sangat tinggi, melainkan ia sebuah syarikat China dan berasal dari China.
Oleh sebab itu, kebanyakan pengeluar mengambil jalan mudah dengan bekerjasama antara dua entiti bagi mewujudkan perkongsian dan pemindahan teknologi.
Namun, bagi Toyota yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung di dalam bidang ini, syarikat gergasi Jepun itu mengumumkan bahawa mereka akan menyediakan sokongan kepada mana-mana syarikat pengeluar yang ingin menghasilkan kereta hibrid dan elektrik.
Melalui cara ini, Toyota bakal membuka pintu kepada pengeluar untuk mengakses kira-kira 23,740 buah paten sel bahan api, kereta hibrid dan elektrik secara percuma.
Ia juga termasuklah memberikan sokongan teknikal berbayar dalam usaha untuk menggalakkan lagi projek elektrifikasi kenderaan di kalangan para pengeluar.
"Jika bilangan EV meningkat secara konsisten dalam masa 10 tahun akan datang, ia akan menjadi satu kelaziman di dalam industri, dan kami berharap dapat memainkan peranan penting ke arah itu," ujar Shigeki Terashi, Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Corp.
Sebelum ini, Toyota sudah pun menawarkan ribuan paten teknologi sel bahan api sejak tahun 2015 lagi, selain menjalinkan kerjasama dengan Suzuki dan Mazda bagi pembangunan sistem trenkuasa elektrik dan hibrid.
Menurut Toyota lagi, paten tanpa royalti itu terbuka kepada semua sehinggalah akhir tahun 2030.