Kebelakangan ini, kebanyakan pengeluar cuba tampil dengan pengenalan model baharu yang membawakan penggayaan retro moden - gabungan elemen klasik pada sebuah motosikal spesifikasi moden.
Gandingan resepi retro moden itu sebenarnya mampu menarik perhatian ramai orang, dan tidak pula janggal digunakan di jalan raya.
Bagi mereka (dan juga penulis) yang gemarkan elemen retro akan tetapi tidak mahu pening dengan kos penyelenggaraan motosikal yang sudah berusia, terdapat beberapa pilihan yang sudah pun wujud di pasaran.
Di bawah siri Neo Sports Cafe, Boon Siew Honda membawakan anda tiga buah model motosikal dengan elemen klasik moden, iaitu Honda CB1000R, Honda CB650R yang baharu sahaja dilancarkan dan Honda CB250R - masing-masing hadir dengan imej naked.
Sementara CB1000R dipasarkan pada harga melepasi angka RM70 ribu, pilihan yang lebih murah tanpa perlu mengorbankan poket seluar dan akaun bank anda sudah tentu model suku liter, Honda CB250R.
Seperti abangnya CB1000R dan CB650R yang hadir dengan reka bentuk lampu bulat, CB250R juga membawakan penggayaan yang serupa, namun tampil lebih ringkas di mana lampu nyalaan siang DRL dibahagikan dua.
Lampu utama LEDnya (depan dan belakang) juga cukup terang untuk kegunaan di waktu siang dan malam, memberikan petanda kehadiran anda selaku penunggang CB250R kepada para pengguna jalan raya yang lain.
Boleh dikatakan, hampir keseluruhan lampu utama dan lampu membelok menggunakan teknologi LED, dan penulis cukup suka dengan lampu membelok oren hadapan yang kekal menyala ketika menunggang.
Nampak bergaya ala-ala filem Maria Mariana gitu.
Sulaman elemen moden pula diteruskan dengan penggunaan skrin paparan digital LCD yang menunjukkan bacaan penting seperti kapasiti bahan api, meter kelajuan, putaran enjin serta trip perjalanan.
Sayangnya, meter digital ini tidak memaparkan angka kedudukan gear, namun ia tidak begitu menjadi sebarang masalah kerana CB250R ini dilengkapi lampu amaran penukaran gear.
Posisi tunggangan juga tidaklah terlalu membongkok, ditambah dengan ketinggian tempat duduk 800 mm yang empuk itu menjadikan tunggangan jarak jauh tidak begitu memenatkan.
Cuma tamparan angin pada badan mungkin sekali membuatkan anda akan sentiasa mengawal kelajuan sepanjang masa.
Dengan berat bersih sekitar 145 kg, penulis tidak merasakan kesukaran untuk mengawal motosikal CB250R ini di dalam bandar mahupun ketika menyelusuri lebuhraya Malaysia tercinta ini.
Enjin 250 cc silinder tunggal yang dibekalkan mampu menjana kuasa setinggi 27.2 kuasa kuda dan daya kilas 23.3 Nm yang masuk pada putaran enjin 8,000 rpm.
Padanan transmisi manual enam kelajuan membuatkan anda akan sentiasa gian untuk bermain-main dengan setiap gear yang ada bagi mengekstrak kuasa yang terpendam.
Sepanjang dua minggu penggunaan jentera CB250R ini, penulis berjaya untuk mencapai kelajuan tertinggi 140 km/j di laluan kanan lebuhraya sebelum daya geseran angin bertindak lebih kejam mengganggu konsentrasi tunggangan.
Pecutan yang terhasil ketika memotong kereta yang bersantai di laluan tengah juga tidak mengecewakan apabila penulis tidak perlu selalu untuk turun satu gear ke bawah bagi mendapatkan kuasa tambahan.
Penggunaan suspensi jenis upside down (USD) Teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang sedikit sebanyak membantu kestabilan pengendalian motosikal ini terutama ketika meratah selekoh susur keluar lebuhraya.
Adakalanya malang tidak berbau apabila kenderaan di hadapan menukar laluan tanpa sebarang isyarat, yang selalu menjadi mangsa adalah para penunggang motosikal seperti kita.
Mujur juga Honda CB250R ini awal-awal dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS) jenis two-channel, dengan cakera 296 mm dan angkup Nissin empat piston di hadapan manakala cakera 220 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Alhamdulillah, penulis masih terlindung daripada sebarang insiden tidak diingini.
Berdasarkan penggunaan untuk setangki penuh minyak petrol berkapasiti 10.1 liter, penulis mampu untuk mencapai jarak sejauh 265 km sebelum meter bahan api berkelip-kelip meminta bekalan bahan api.
Jarak tersebut sebenarnya agak mengkagumkan memandangkan penulis lebih banyak memulas pendikit dan memecut untuk 'menguji' kuasa yang terpendam CB250R ketika di jalanan.
Untuk sebuah motosikal suku liter, Honda CB250R mungkin apa yang anda cari-cari selama ini - sebuah motosikal yang mudah untuk dikendalikan dan mampu membuat apa sahaja yang penunggang arahkan.
Harganya juga tidaklah mengarut, dengan harga asas sebanyak RM22,999 (atas jalan tanpa insurans) dan pakej yang ditawarkan, ia bakal membuat muka anda sentiasa berukir senyuman setiap kali pulang daripada berkelana.
Spesifikasi ringkas Honda CB250R
Enjin: silinder tunggal empat lejang DOHC
Sesaran: 250 cc
Kuasa: 27 hp @ 9,000 rpm
Daya kilas: 23.3 Nm @ 8,000 rpm
Transmisi: Manual enam nisbah kelajuan
Suspensi hadapan: USD Teleskopik
Suspensi belakang: Monoshock
Brek hadapan/belakang: 296 mm empat piston/220 mm satu piston, dengan ABS two-channel
Kapasiti bahan api: 10.1 liter
Harga: RM22,999 (atas jalan tanpa insurans)