Vespa edisi istimewa ini lahir dengan idea menggabungkan gaya hidup individu yang sentiasa mengejar kebebasan dan sifat ingin tahu dengan mencari erti sebenar kebahagiaan dalam apa jua cara.
Dari segi penampilan, Vespa Primavera Pic Nic menampilkan penawaran warna klasik, dimulakan dengan warna badan White Innocenza, Green Relax, dan Grey Materia, diikuti warna tali kulit berwarna beige depan dan belakang, serta sentuhan kecil elemen bendera Itali pada tempat pengikat belakang.
Pemilihan warna coklat klasik itu juga boleh didapati pada bahagian pelana, ruang meletak kaki serta beberapa bahagian yang lain.
Ia disusuli dengan kemasan krom, serta rim bersaiz 12 inci berwarna putih, dan tidak ketinggalan lencana Vespa Pic Nic di bahagian hadapan.
Seperti Vespa Primavera yang lain, Primavera Pic Nic didatangkan dengan enjin i-GET 150 cc sejukan udara yang menghasilkan 13 kuasa kuda dan 12.8 Nm, serta teknologi suntukan elektonik dan injap tiga hala (3-valve distribution).
Dari segi keselamatan, Vespa Primavera Pic Nic dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci ABS satu saluran, dengan brek cakera 200 mm hadapan dan brek dram di bahagian belakang.
Untuk setiap pembelian Vespa Privamera Pic Nic, anda boleh mendapatkan aksesori seperti alas selimut piknik, beg penyejuk, serta bakul rotan dengan kemasan kulit yang mudah dipasang pada rak belakang.