Jika sebelum ini Volvo P1800 Cyan itu lebih berorientasikan litar lumba, kali ini Cyan Racing mahu menawarkan spesifikasi yang lebih selesa dengan personaliti sebuah grand tourer (GT) yang sebenar.
Disebabkan itu juga, anda boleh melihat pendekatan rekaan yang lebih ringkas diwujudkan pada bahagian luaran dan dalaman Volvo P1800 Cyan GT ini.
Berbanding model asal yang diperlihatkan pada tahun 2020, Cyan Racing telah memadankan sistem gantungan boleh laras yang lebih lembut bertujuan untuk menawarkan lebih keselesaan bagi perjalanan jarak jauh.
Bukan itu sahaja, pihak Cyan Racing turut menambah penggunaan bahan kedap bunyi serta memasang sangkar keselamatan titanium untuk ruang kabin.
Tempat duduk yang lebih selesa itu dibaluti dengan bahan kulit berwarna pasir, diikuti dengan salutan fabrik pada bahagian lain.
Volvo P1800 Cyan GT ini masih lagi mengekalkan nadi 2.0 liter turbo namun dengan talaan kuasa serendah 345 hp, bertujuan untuk menjadikan jentera GT ini lebih mudah untuk dipandu.
Nadi tersebut dipadankan dengan kotak gear manual Holinger lima nisbah kelajuan, di mana segala kuasa yang dihamburkan itu tadi disalurkan kepada roda belakang.
Menurut Cyan Racing, setiap satu unit Volvo P1800 Cyan GT ini memakan masa 12 hingga 15 bulan untuk disiapkan.
Harga jualan bagi model P1800 Cyan GT ini tidak didedahkan, namun sebagai makluman Volvo P1800 Cyan yang asal dijual pada harga bermula dari £379,000 (RM2.28 juta).
Yang pasti, sama seperti model asal, P1800 Cyan GT ini akan dihasilkan dalam unit yang terhad.
Baca: Volvo P1800 Cyan Restomod
Baca: Cyan Racing dedah rekaan ruang kabin Volvo P1800 Restomod