Lihat sahaja pada dua projek terawal yang telah siap sebelum ini, iaitu Mars (menggunakan asas daripada RAV4), dan Orcus (Delica D:5).
Untuk projek yang ketiga (IO), Vrarva membawakan sebuah kei car yang telah diberikan penampilan seakan sebuah kereta Gerak Khas, iaitu Suzuki Hustler.
Identiti Suzuki pada model Hustler telah ditanggalkan, di mana Vrarva telah memadankan kit badan termasuklah jeriji hadapan, bampar depan yang lebih kompleks rekaannya, serta hud kustom yang lebih bersegi.

Untuk menjadikan penampilan Hustler lebih gagah, Vrarva memasang plastik pelindung yang tidak bercat pada arka roda, pintu sisi, serta pintu tailgate belakang.
Tidak ketinggalan rim baharu bersaiz 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Open Country, diikuti sistem gantungan yang telah ditinggikan.

Vrarva IO dibina berdasarkan Suzuki Hustler generasi kedua varian Hybrid G 2WD.
Nadi asal tiga silinder sebaris 658 cc itu tidak disentuh, dan masih berupaya menghasilkan 63 hp yang dibantu dengan sistem hibrid ringan (tambahan 2 hp).

Harga untuk sebuah pakej Vrarva IO yang lengkap bermula dari ¥2,490,000 (RM80,168).
Terdapat juga pakej kit badan (termasuk kos buruh dan cukai) berharga ¥1,356,300 (RM43,667) yang ditawarkan oleh Vrarva jika anda kebetulan mempunyai sebuah Suzuki Hustler di rumah.