GAC EMKOO merupakan model SUV dalam segmen C yang turut dikenali dengan nama Trumpchi Emkoo di pasaran China.
Mengikut spesifikasi asal, GAC Emkoo boleh didapati dengan penawaran enjin 1.5 liter turbo (179 PS), enjin 2.0 liter turbo (255 PS) atau nadi hibrid 2.0 liter yang dipadankan dengan motor elektrik tunggal (140 PS).
Ia membawakan ciri seperti jeriji Borderless V-Shape, lampu LED 'Eyes of Revelation', lampu belakang ala boomerang, garis badan yang tajam, serta tidak ketinggalan skrin kluster digital penuh separa terapung pada ruang kabin yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8155.
Sementara GAC Aion Y Plus pula merupakan sebuah SUV berkuasa elektrik yang bakal dilancarkan dalam separuh pertama tahun ini.
Dibangun menggunakan pelantar GAC AION Electric Platform (AEP2.0), Aion Y Plus menampilkan teknologi Magazine Battery Safety yang menjanjikan penggunaan yang lebih selamat tanpa sebarang insiden kebakaran atau letupan.
Trenkuasa motor elektrik 201 hp dan 225 Nm yang dipadankan dengan pek bateri 63.2 kWh membolehkan Aion Y Plus ini bergerak sejauh 490 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).
Aion Y Plus menampilkan rekaan lampu utama Angel's Wing dengan tujuh bar lampu melintang, bar lampu LED melintang penuh di bahagian belakang, serta rekaan bumbung terapung.
Ruang kabin Aion Y Plus menampilkan ciri istimewa, di mana tempat duduk hadapan boleh dibaringkan rata untuk mencipta ruang rehat yang lebih luas, serta ruang kaki penumpang belakang sebesar 1,022 mm.
Dengan termeterainya perjanjian pengedaran yang dibuat pada Januari 2024, WTCA kini secara rasmi menjadi pengedar dan penjual tunggal kenderaan elektrik berjenama GAC AION di pasaran Malaysia.