Hong Leong Yamaha mungkin mendengar keluhan ramai dan akhirnya membawa masuk pengganti kepada model Majesty 250 yang dahulunya popular di zaman Virago 535 menjadi pilihan romeo-romeo.
XMax 250 dilancarkan awal tahun lalu dan terus memasuki pasaran yang sedang dinikmati oleh Sym, Modenas, Kymco dan Honda.
Dari segi harga, memang Modenas menang mudah. Cuba lihat senarai harga di bawah dan anda boleh lihat di mana XMax berada (harga dari internet).
- Modenas Elegan 250 RM13,110
- Cik Simah SYM CRUiSYM 250i RM20,021
- Yamaha XMax 250 RM21,225
- Kymco Downtown 250i RM21,500
- Aprilia SR Max 300 RM23,500
- Vespa GTS 300 Super RM25,000
- Honda Forza NSS 300 ABS RM26,988
- Kawasaki J300 ABS RM29,718
Yamaha nampaknya berjaya membuat kejutan dengan meletakan harganya lebih rendah dari Kymco, jenama Taiwan paling terkemuka di dunia tetapi tinggi sedikit dari harga SYM CruiSym (dengarnya pengedar telah menurunkan harga SYM ini sehingga ke paras RM16,800, membuktikan jenama ini memang over-priced dari dulu).
Di antara kesemua itu, terus terang boleh dikatakan hanya ada tiga yang menarik perhatian penulis - Kymco Downtown 250i dan Aprilia SR Max 300 dan Yamaha XMax 250.
Di antara ketiga-tiga itu, selepas seminggu dengan skuter maxi Yamaha itu, sejujurnya XMax yang paling berbaloi dengan RM yang dikeluarkan.
Selain dari jenama Yamaha yang memang kuat seluruh dunia dan nama Hong Leong yang memang terbukti sangat proaktif dengan kehendak pasaran, penjagaan pemilik dan kemudahan servis, XMax itu sendiri kelihatan sangat menarik.
Rekabentuk yang ala-ala Mospeada, memang ia membawa ciri-ciri design yang sama pada super kapchai Y15ZR dan juga skuter canggih NVX155.
Entah kenapa bahagian hadapan XMax itu mengingatkan penulis kepada model sport-touring Yamaha TDM 900 dahulu. Realitinya, XMax lebih hampir kepada adiknya, skuter NVX155 yang sporty dari segala segi kecuali kelajuan.
Lampu hadapan juga menggunakan konsep yang sama - lampu kembar jenis LED yang nampak cantik (walaupun sebenarnya tidak seterang lampu-lampu LED yang ada pada superbike atau kereta).
Malah, rasanya mentol biasa mungkin lagi cerah kerana lampu tinggi XMax ini tiada beza dengan lampu rendah. Mengecewakan!
Sistem kunci juga ala NVX, iaitu dari genre "keyless" yang tidak memerlukan anda mengeluarkan kunci untuk menggunakan skuter besar ini.
Ciri-ciri lain yang penulis kira sangat berbaloi dan menarik ialah:
- Lampu DRL jenis LED - terus skuter ini nampak premium
- Laci hadapan berkunci dengan soket 12V
- Brek ABS 2-channel (depan dan belakang) yang memang berguna
- Sistem Traction Control (TCS) yang sangat membantu meningkatkan keselamatan penunggangan (walau hanya untuk roda belakang)
- Ruang barang bawah pelana yang luas - muat dua helmet fullface
- Panel meter dengan skrin LCD yang lebih cantik dan nampak mahal dari paparan meter sesetengah kereta
- Skrin hadapan boleh laras (dua tahap, tapi perlu dibuka skru penutupnya)
- Posisi palang hendal (handlebar) yang juga boleh dilaras, tapi memerlukan sedikit kerja (pusat servis boleh melakukannya)
- Tripmeter dan lampu amaran tukar talisawat
Dari segi tunggangan, terbukti DNA pada T-Max wujud dengan jelas pada XMax ini. Walaupun besar dan terasa bahagian hadapan sedikit berat semasa penunggangan perlahan, ia mengambil selekoh dengan rasa yakin.
Hanya beberapa minit di atas XMax, penulis sudah mula turun rendah di selekoh-selekoh, sehingga tayar Dunlop Scoot Smart itu mula hilang gigitan. Sebaiknya, buang tayar standard ini dan tukar kepada yang lebih baik kerana Dunlop ini agak "hampeh", terutama semasa jalanraya basah.
Walaupun lengkap dengan Traction Control, gelinciran roda hadapan masih berlaku kerana sistem elektronik itu cuma mengawal pendikit dan roda belakang.
Sistem gantungan hadapan menggunakan fork teleskopik sementara di belakang ialah unit swing di mana enjin menjadi lengan ayun (seperti skuter tradisional) dan dibantu oleh sepasang penyerap hentak (damper).
Brek ialah cakera tunggal 267mm di hadapan dan 245 mm di belakang - memadai.
Sistem transmisi ialah V-Belt automatik dan ia lengkap dengan odometer di panel meter untuk mengingatkan talisawat itu perlu ditukar selepas 20,000 km.
Enjin single Blue Core 250cc 4-lejang SOHC 4-injap sejukan cecair itu menghasilkan 22.5 hp dan 24.3 Nm sahaja, cukup untuk mencapai halaju maksimum lebih kurang 150 kmsj.
Pecutan masih tegar tetapi penulis masih berharap agar halaju maksimum boleh ditinggikan sedikit lagi. Dengan penunggang seberat 100 kg, roll-on acceleration masih mencukupi walaupun kadang-kadang terasa ia mengah (mungkin sebab penulis terlebih berat).
Nasib baik juga V-Belt pada skuter Yamaha ini tidak terasa kenyal. Pulas pendikit dan ia meluncur ke hadapan tanpa masalah. Ada skuter yang terasa seperti menggunakan gelang getah ikat sayur - kenyal dan lembab.
Di atas lebuhraya, kelemahan itu tidak terasa sangat kerana kita tidak perlu memecut selalu.
Hadangan angin pada posisi skrin standard masih tidak mencukupi kerana masih terasa angin terkena bahagian atas helmet (penulis mempunyai ketinggian 180 cm).
Alhamdulillah jurutera-jurutera Yamaha menunjukan pengalaman mereka dengan memastikan XMax lengkap dengan tempat kaki berlunjur.
Ini sangat penting kerana jika tidak, penunggang akan duduk tercantuk seperti di atas mangkuk tandas. Mungkin itu tidak menjadi masalah besar di dalam bandar tetapi untuk penunggang yang tinggi lampai seperti Edika Yusuf (20 tahun lalu), perlu ada tempat untuk kaki berlunjur.
Tunggangan di dalam bandar membuktikan ia tidak menyusahkan. Penulis masih mampu mencilok dan menyelit di mana selamat dan parkir juga masih mudah. Berat 179 kg itu tidak begitu membebankan, kecuali anda mahu memikulnya.
Praktikaliti memang menjadi objektif utama sebuah skuter maxi. Bayangkan seorang eksekutif yang mahu membawa beg komputer dan kasut serta jaket - leceh jika menggunakan beg galas ataupun pannier. Dengan XMax, semuanya muat di bawah pelana itu.
Harga memang menjadi masalah kepada ramai - RM21,000 bukanlah satu jumlah yang kecil, malah boleh membeli sebuah motosikal 600 cc terpakai.
Hanya yang benar-benar tahu apa kelebihan sebuah skuter maxi yang sanggup membayar sejumlah itu dan untuk mereka, penulis ucapkan syabas kerana XMax adalah satu mod pengangkutan yang menyeronokan dan praktikal.
Jika ada yang masih berkata menunggang skuter ini tidak nampak "jantan", biarkan kerana mereka ini adalah golongan yang masih memerlukan "bantuan" untuk merasakan sifat kejantanan.