Jelas sekali, motosikal elektrik menawarkan pecutan yang sukar dialami pada motosikal konvensional, namun satu masalah yang ketara kita semua tahu - bunyi.
Walaupun motor elektrik mampu menghasilkan bunyi tersendiri, tiada bunyi ekzos yang lahir daripada trenkuasa elektrik, menjadikan tunggangan yang agak senyap, dan sukar pula untuk pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang lain mengesan kehadiran kita di atas jalan.
Melihat kepada perkara tersebut, Yamaha yang terkenal dengan pembangunan enjin V10 LFA selain memiliki kepakaran menghasilkan alat muzik tampil dengan penyelesaian yang digelar sebagai αlive.
Menurut salah satu ahli dalam pasukan αlive Yamaha, Hideo Fujita menjelaskan, untuk mencipta apa jua bunyi tidak menjadi satu masalah, namun bagi mereka yang paling penting adalah bagaimana untuk menghasilkan bunyi yang sebenar.
Untuk itu, pasukan αlive melakukan eksperimen bagi menentukan bunyi apakah yang terbaik untuk diletakkan sekiranya penunggang memulas pendikit, dan bagaimana pula rangka dan komponen motosikal yang lain boleh digunakan untuk menguatkan lagi frekuensi bunyi yang terhasil.
Konsep yang diperlihatkan oleh αlive AD sebenarnya adalah hampir sama dengan apa yang jurutera Yamaha buat terhadap Lexus LFA, dimana pemandu itu sendiri duduk di tengah-tengah sistem bunyi yang harmoni dihasilkan daripada enjin 1LR-GUE V10 itu.
Sama-sama kita nantikan bagaimana pula hasil kerja Yamaha untuk diaplikasikan terhadap motosikal elektrik.
Untuk mereka yang terlepas, boleh saksikan video kami berkenaan Y15ZR elektrik menerusi pautan di bawah: