Tahun berganti tahun, pembangunan intensif untuk LMW bermula beberapa tahun selepas krisis ekonomi global pada tahun 2008.
Idea untuk mobiliti baharu juga timbul susulan kesesakan yang kronik di bandar-bandar besar Eropah sehingga menjadi masalah sosial pada waktu itu.
Yamaha mahukan sebuah kenderaan yang lebih kecil daripada kereta dan tidak seperti skuter atau motosikal sedia ada. Dari situ lahirlah Tricity 125 yang dilancarkan di Thailand pada tahun 2014 dan disusuli di Jepun dan beberapa negara lain.
Kemuncak LMW keluaran Yamaha apabila Niken dilancarkan pada tahun 2018. LMW ini berkuasa tinggi dengan enjin 847cc yang mempunyai output 115 ps pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm pada 8,500 rpm.
TRICITY300 adalah siri terbaru dan diposisikan sebagai LMW kelas pertengahan dengan konsep The Smartest Commuting Way.
Ia hadir dengan kestabilan yang baik dan pengendalian natural semasa membelok di samping enjin BLUE CORE yang berkuasa dan mesra alam sekitar.
Enjin yang digunakan adalah sama seperti XMax yang ditala semula untuk TRICITY300.
TRICITY300 juga adalah motosikal produksi pertama Yamaha yang mempunyai sistem Tilt-lock Assist bagi membantu kenderaan kekal tegak dan memberikan tunganggan yang selesa.
Fungsi itu berkesan digunakan semasa berhenti di lampu isyarat agar TRICITY300 tidak jatuh ke sebelah dan turut memudahkan penunggang untuk menggunakan tongkat tengah apabila hendak diparkir.
Untuk kemudahan penunggang, LCD memaparkan pelbagai maklumat manakala bahagian bawah kerusi boleh memuatkan dua topi keledar muka penuh. Juga dilengkapkan ialah plug 12 volt dan penghidup bebas kunci.
Berdasarkan sambutan Tricity 125 yang kurang memberangsangkan nampaknya Yamaha tidak berputus asa dengan LMW apabila memperkenalkan TRICITY300 ini.
Seperti yang dinyatakan di atas, LMW bukan sebuah kereta atau motosikal, Yamaha membangunkannya sebagai sebuah mobiliti atau penyelesaian kepada pengangkutan sedia ada.
Penulis sukakan idea Yamaha ini dan berhajat mahu mencubanya. Menarik bukan?
Penulis: Muhammad Md Tajudin