Ujian secara pandu-lalu ini juga lebih pantas, lapan minit berbanding dengan 20 minit jika mereka membuat ujian saringan biasa dengan masuk ke dalam bangunan.
Dibuka sejak 26 Mac, sambutannya menggalakan.
"Objektif utama ialah untuk mengurangkan sentuhan fizikal antara satu sama lain dan juga memudahkan pelanggan untuk diuji," ujar Dr Nur Abdul Karim, perunding pakar perubatan dan ketua Perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di KPJ Damansara.
"Kami mengikut langkah hospital di Korea Selatan, iaitu untuk menguji semua orang. Dengan cara itu, kami boleh mengesan kes positif lebih awal untuk mengurangkan kadar merebak COVID-19," sambungnya lagi.
"Ia adalah ujian saringan yang sama digunakan di hospital-hospital lain dan diluluskan oleh kerajaan sebagai "standard emas"."
Ujian saringan pandu-lalu ini dibahagikan kepada dua stesen.
Stesen pertama adalah untuk pendaftaran dan pembayaran serta mengambil suhu badan, bacaan oksigen dan nadi.
Stesen kedua ialah khusus untuk ujian saringan COVID-19, dimana sampel dari hidung dan kerongkong diambil. Mereka kemudian diberikan sedikit rundingan cara dan sebarang pertanyaan akan dijawab oleh staf hospital.
Ujian pandu-lalu ini dibuka bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tenghari, dari Isnin sehingga Sabtu.
"Kami terfikir juga untuk melanjutkan tempoh operasi tetapi kami tidak mahu staf kami menerima tekanan," kata Dr Nur.
Keputusan ujian mampu diberikan dalam masa 24 jam.
* Laporan asal dan gambar utama dari FMT