Menurut Ketua Pegawai Eksekutif baharu Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Md Azhan Shafriman Md Hanif, 43, pihak SIC sedang berbincang dengan penganjur dan juga penaja-penaja mengenai halatuju sukan tersebut sekiranya acara perhimpunani tidak dibenarkan olehh kerajaan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Walaupun perlumbaan Cub prix boleh dianjurkan, yang berbeza ialah peminat hanya boleh menonton acara itu melalui platform media sosial internet seperti Facebook Live dan YouTube.
Shafriman berkata ia masih lagi dalam peringkat perbincangan sekiranya kerajaan tidak membenarkan membuat sebarang perkumpulan umum.
Dalam temuramah Careta secara online, Shafriman yang baharu sahaja menjadi CEO litar tersebut berkata beliau tidak ada cadangan untuk mengubah pengurusan litar itu sekarang.
"Saya akan meneruskan perancangan yang telah dilakukan oleh Datuk Razlan Razali dan di samping itu saya masih mengkaji operasi litar ini," ujarnya yang mempunyai pengalaman meluas di dalam sukan permotoran semasa beliau bersama Petronas sebelum ini.
Razlan kini menumpukan sepenuh perhatiannya kepada tugas beliau sebagai ketua pasukan Sepang Racing Team (SRT).