Menurut Boston Dynamics, ada beberapa hospital yang membuat pertanyaan samada robot mereka mampu mengurangkan pendedahan kakitangan mereka kepada COVID-19.
"Salah satu daripada hospital itu mendedahkan bahawa satu perenam dari kakitangan mereka terkena jangkitan COVID-19 selepas seminggu mengendalikan kes tersebut," ujar Boston Dynamics di dalam laman web mereka.
Robot Spot dari Boston Dynamics ini memang popular kerana ia adalah antara robot 4-kaki yang paling lincah di dunia. Walaupun sudah berusia hampir sedekad, ia masih dalam ujian.
Spot untuk kerja hospital ini dilengkapi dengan satu tapak iPad dan radio dua hala untuk membenarkan kakitangan hospital berhubung dengan pesakit yang baru sampai ke hospital untuk diperiksa.
Boston Dynamics berkata Spot bukan robot yang paling sesuai untuk tugasan itu dan mencadangkan robot yang beroda.
Ia sedang mengkaji untuk menghasilkan robot-robot yang boleh membaca suhu badan, kadar pernafasan, denyut nadi dan kadar oksigen pesakit.
"Kami sedang berbincang dengan pakar-pakar yang menggunakan kamera dengan teknologi haba (thermal) untuk membaca suhu badan dan kadar pernafasan. Kami juga sedang menggubal satu program yang membolehkan sebuah kamera RGB untuk membaca kadar gerakan pembuluh darah bagi mengira denyutan nadi," terang syarikat itu lagi.
Boston Dynamics juga sedang mengkaji kegunaan teknologi robot untuk melakukan kerja-kerja pembasmian dan disinfektan di kawasan atau permukaan.
Antara cadangannya ialah menggunakan lampu UV-C untuk melakukan disinfektan bilik-bilik hospital.
* Sumber dari Boston Dynamics