Mengutip informasi daripada CreativeTrend, difahamkan Daihatsu akan memproduksikan sebuah MPV baharu yang dibangunkan daripada platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) - pelantar sama yang digunakan bagi produk Daihatsu Rocky/Toyota Raize, serta Daihatsu Taft.
Antara informasi menarik yang sempat dikutip adalah MPV baharu ini bakal menawarkan konfigurasi tiga baris dengan enam tempat duduk.
Hal ini mengingatkan kita kepada model konsep yang pernah dibawakan oleh Daihatsu sebelum ini, iaitu Daihatsu DN-Multisix.
Malah, model DN-Multisix ini juga diicanang bakal menjadi model generasi baharu Daihatsu Xenia (Toyota Avanza), satu peralihan besar daripada penggunaan platform ladder frame serta pacuan roda belakang pada model terdahulu.
Selain daripada itu, model MPV baharu ini juga dikatakan bakal membawakan nadi 1.0 liter turbo (sama seperti model Toyota Raize) serta penawaran nadi 1.2 liter hibrid.
Hal ini disahkan oleh pihak Toyota Astra Motor di mana mereka akan memperkenalkan sebuah model hibrid (nama tidak diketahui) untuk pasaran Indonesia menjelang hujung tahun ini.
Untuk menjadikan hal ini semakin menarik, rakan media Paultan pernah melaporkan kelibat model ujian 'Toyota Avanza' yang sedikit pelik mendaki Genting Highland bersama model Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga.
Ini menguatkan lagi desas desus di mana MPV Alza bakal berkongsi platform yang sama dengan Avanza/Xenia serba baharu.
Jika benar berita yang dibawakan ini, ia merupakan satu lonjakan yang sangat besar buat MPV Alza, apatah lagi casis Alza sedia ada sudah terlalu usang dan Alza juga tidak menerima sebarang pengganti sepanjang tempoh penjualannya di pasaran Malaysia.
Creative Trend meramalkan pengenalan model MPV baharu ini menjelang Disember 2020, manakala model Alza generasi baharu pula berkemungkinan besar akan menyusul pada tahun 2021.
Sumber: CreativeTrend
Sumber gambar utama: Theophilus Chin