Disebabkan statusnya yang tersendiri, penulis percaya ramai di antara kita yang pernah menyimpan dan menggantung poster F40 di bilik masing-masing suatu ketika dahulu.
Ferrari F40 dihasilkan antara tahun 1987 sehingga 1992, dengan enjin V8 2.9 liter turbo berkembar yang menghasilkan 471 kuasa kuda, 577 Nm dan transmisi manual lima kelajuan.
Angka tersebut mungkin nampak biasa, akan tetapi tidak ramai yang mampu mengawal kuasa tersebut dengan mudah, apatah lagi apabila Ferrari F40 memiliki berat yang menyamai sebuah Ford Fiesta!
Itu yang terjadi di Australia apabila sebuah Ferrari F40 dilaporkan rosak teruk akibat kemalangan di Beaudesert Nerang Road, Queensland, Australia.
Menurut laporan daripada pihak berkuasa tempatan, jentera ikonik itu dikatakan hilang kawalan ketika dalam satu sesi pandu uji, dan jika dilihat kepada impak yang dihasilkan, besar kemungkinan ia dipandu dalam kelajuan yang tinggi.
Mujur, pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun Ferrari F40 merah itu dilihat melanggar beberapa tiang jalan dan pokok di tepi jalan tersebut.