Ini adalah berdasarkan kelibat model ujian yang dikesan di Thailand oleh Headlightmag yang menampilkan trak pikap berwarna putih dengan pelekat samaran yang minima.
Perubahan ketara yang dibawakan adalah reka bentuk gril hadapan yang lebih besar dan diinspirasikan daripada model trak pikap saiz penuh Nissan Titan.
Beberapa laporan terdahulu mencadangkan Nissan Navara NP300 Minor Change ini bakal menerima nadi 2.3 liter diesel turbo yang kini menduduki perut SUV Terra.
Enjin dengan kod YS23DDTT itu mampu menghasilkan 190 PS dan 450 Nm dan digandingkan dengan transmisi automatik tujuh nisbah kelajuan.
Selain daripada itu, Nissan juga mungkin akan melengkapkan Navara NP300 dengan ciri keselamatan Safety Shield 360 yang mampu meletakkannya sama tinggi dengan trak pikap Hilux, Triton dan Ranger sedia ada.
Tiada sebarang tarikh rasmi dikeluarkan buat masa ini, tunggu sahaja kemunculannya dalam masa terdekat.