Konsep tersebut kemudian diaplikasikan pada model konsep terbaharu Hyundai yang dinamakan sebagai TIGER, atau nama panjangnya Transforming Intelligent Ground Excursion Robot.
Dibangunkan oleh New Horizons Studio Hyundai, TIGER lebih direka untuk membawa muatan berat melalui laluan yang serba mencabar tanpa memerlukan kawalan daripada manusia.
Konsep ini dibangunkan atas platform modular, menampilkan sistem kaki yang sofistikated untuk berjalan dan merangkak di atas laluan yang sukar, dan dalam masa yang sama memastikan muatan kekal stabil.
Pergerakan TIGER ini dibantu oleh lapan penderia ultrasonik 360 darjah, lapan susunan kamera, bantuan GPS dan sambungan 4G, selain menempatkan dua panel radar yang mampu menembusi tanah untuk tujuan penerokaan.
Menurut Hyundai, TIGER ini boleh dipadankan dengan pelbagai jenis aplikasi seperti penghantaran muatan kargo, atau tujuan pengawasan di lokasi yang tidak sesuai untuk dimasuki manusia, seperti contoh di permukaan bulan atau planet baharu.