Walau bagaimanapun, dua perubahan utama pada segmen pos dan kurier telah mendorong kepada pelaksanaan rasionalisasi ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat penurunan ketara dalam jumlah mel biasa di seluruh negara.
Seiring dengan penurunan ini, pertumbuhan e-dagang pula telah memperkembangkan perniagaan kurier. Pandemik COVID-19 juga telah mendorong perkembangan perniagaan kurier, kerana semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk kekal berada di rumah dan membeli-belah secara atas talian.
Penurunan jumlah mel biasa telah menyebabkan lebihan kapasiti tenaga kerja di kalangan kakitangan posmen Pos Malaysia.
Maka amat wajar bagi Pos Malaysia untuk membuka peluang kepada petugas-petugas posmen yang sedia ada ini untuk menghantar bungkusan kurier; mereka dapat memperoleh pendapatan tambahan dan memenuhi lebihan kapasiti ini.
Namun, demi keseimbangan, Pos Malaysia kini memutuskan bahawa bekas ejen Pos Rider akan diberi keutamaan ketika ada peningkatan jumlah bungkusan, dalam kapasiti secara sambilan.
Jumlah bungkusan lazimnya melalui peningkatan pada waktu-waktu tertentu sepanjang tahun; ini didorong oleh jualan khas oleh peruncit, musim perayaan, jualan tarikh khas (seperti 9.9, 11.11) dan seumpamanya.
Ini akan membolehkan bekas ejen Pos Rider memanfaatkan lonjakan tersebut, sekaligus membantu Pos Malaysia mengekalkan kecekapan kos.
Pos Malaysia tetap kekal komited untuk memastikan kemampanan dan daya maju perniagaannya.
Oleh itu, dengan pandemik yang mempengaruhi segmen perniagaan lain dalam Kumpulan, perancangan semula strategi, kos dan penggunaan sumber untuk perniagaan Pos Malaysia akan terus dilakukan.